Deprecated: Assigning the return value of new by reference is deprecated in /home/msufian/public_html/hpa-online/blog/wp-settings.php on line 520

Deprecated: Assigning the return value of new by reference is deprecated in /home/msufian/public_html/hpa-online/blog/wp-settings.php on line 535

Deprecated: Assigning the return value of new by reference is deprecated in /home/msufian/public_html/hpa-online/blog/wp-settings.php on line 542

Deprecated: Assigning the return value of new by reference is deprecated in /home/msufian/public_html/hpa-online/blog/wp-settings.php on line 578

Deprecated: Function set_magic_quotes_runtime() is deprecated in /home/msufian/public_html/hpa-online/blog/wp-settings.php on line 18
Fibroid Dan Wanita Risikonya Tetap Ada
Apr
19

Fibroid Dan Wanita Risikonya Tetap Ada

By HPA Online Network

AINA membaca buku sambil meniarap, tetapi cepat-cepat bingkas bangun semula. Eisy… sakitnya perut, kenapa ya, bisik hatinya. Lantas dia melihat dirinya di cermin. Tiada banyak bezanya, cuma perutnya agak buncit sedikit. Malah, ramai kawannya menyangka dia mengandung. Tetapi dia tersenyum sendiri. Mana mungkin. Haidnya datang begitu banyak sekali sampai berbungkus-bungkus tuala digunakan. Pasti tidak hamil!

Kawan-kawan mengesyorkannya berjumpa doktor, malu juga sebab sudah berusia, haid macam orang muda malah lebih daripada itu lagi. Bila berjumpa doktor, Aina disahkan mempunyai fibroid yang perlu dikeluarkan secepat mungkin.

Fibroid bagaikan sudah menjadi lumrah bagi wanita, biarpun tidak berbahaya namun risikonya tetap ada. Bunyi lucu tetapi serius. Kata-kata yang dihamburkan doktor pakar membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya tersenyum.

Apa tidaknya, menurut beliau, andai bedah siasat dilakukan ke atas wanita-wanita yang sudah meninggal dunia, lebih 20 peratus daripada mayat-mayat itu didapati mempunyai ketumbuhan fibroid.

Maknanya, fibroid adalah sesuatu yang biasa bagi wanita dan ia tidak berbahaya biarpun mendatangkan ketidakselesaan kepada wanita yang mengalaminya.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Salleh Mohd. Yatim memberitahu, justeru wanita tidak perlu bimbang kecuali jika ia mendatangkan masalah kepada mereka.

“Bagaimanapun apabila ia memberi masalah, mereka perlu berjumpa doktor dengan segera untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” ujarnya.

Menurutnya, ramai wanita tidak menyedari bahawa mereka mempunyai fibroid di dalam rahim atau ovari kerana tumor itu lazimnya tidak membesar sebaliknya mengecut apabila wanita itu mencapai usia menopaus.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, terdapat kes-kes ketumbuhan fibroid yang memudaratkan apabila tumbesarannya berlaku dengan begitu pantas. Dari sekelumit kutil ia boleh membesar sehingga 50 paun dan rekod fibroid terbesar dikeluarkan di dunia adalah 140 paun!

Dr. Salleh berkata, ini menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari mereka mempunyai ketumbuhan dalam rahim, kerana kebanyakan fibroid hampir sifar simptom.

Tambahnya, jika fibroid begitu cepat membesar dan boleh menghinggap atau melekat pada organ-organ lain, ketika itulah ia mengundang kemudaratan. Ia turut membawa kesengsaraan lain bagi pesakit.

Apa itu fibroid?

Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.

Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.

Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.

Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.

Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

Tidak pernah mengandung

Dr. Salleh berkata, lazimnya mereka yang tidak pernah mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.

“Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang mengalami simptom-simptom.

“Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,” jelas beliau.

Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean semasa bersalin.

Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar dengan cepatnya.

Diagnosis

Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.

“Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.

“Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,” kata Dr. Salleh.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga berguna walaupun ia adalah mahal.

Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak sukar untuk dirawat.

Katanya: “Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung. Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.”

Jenis-jenis fibroid

Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami dan pada sesetengah kes, rawatannya.

- Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.

- Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.

- Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan mengganggu organ-organ lain.

- Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

- Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan kesakitan terutamanya semasa kehamilan.

- Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.

- Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid melekat pada organ lain.

Waktu sesuai merawat fibroid

“Fibroid perlu dirawat sekiranya ia mula menunjukkan tanda-tanda seperti yang dijelaskan tadi.

“Ia juga difikirkan sesuai, bagi sesetengah kes apabila seseorang wanita ingin hamil dan pandangan perubatan berbelah bahagi sama ada fibroid perlu dirawat atau mencari peluang mengandung,” kata Dr. Salleh.

Kadangkala, haid yang terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang wanita itu mendapat anemia.

Pun begitu, katanya, kebanyakan doktor bersetuju biarpun tiada simptom-simptom, fibroid pedunkel agak jarang mencetuskan masalah besar bagi wanita hamil.

Bagaimanapun bagi fibroid submukus, ia berkemungkinan menyebabkan wanita lambat hamil serta mengakibatkan wanita hamil mengalami keguguran.

Keputusan untuk merawat atau tidak sebenarnya bergantung kepada usia wanita itu sendiri, saiz fibroid, pernah keguguran dan sama ada rahim menjadi herot kerana kewujudan fibroid itu.

Dr. Salleh menambah, usia adalah faktor penting kerana fibroid akan membesar di bawah pengaruh estrogen dan fibroid juga mudah dikeluarkan di kalangan wanita muda dan ketika fibroid masih kecil lagi.

Bagi wanita yang berusia, mereka perlu berjaga-jaga apabila membuat keputusan untuk melengahkan pembedahan.

“Bagaimanapun, wanita yang telah menjalani pembedahan mengeluarkan fibroid perlu mengambil masa sebelum mengandung. Pakar akan menasihati masa yang sesuai mengikut keadaan pesakit,” ujarnya lagi.

Rawatan fibroid

Rawatan fibroid bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid itu.

- Rawatan hormon; terapi hormon sangat berguna kepada wanita yang hampir menopaus dan bercadang untuk mengelak pembedahan. Bagaimanapun terapi ini tidak banyak memberi manfaat kepada wanita yang bercadang untuk hamil.

- Reseksi histeroskopi; lazimnya dilakukan ke atas fibroid submukus asalkan fibroid itu berukuran kurang daripada l0 sentimeter garis pusat. Beberapa proses dilakukan sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Pembedahan membuang fibroid ini menggunakan sejenis alat berupa wayar khas bersama histeroskop yang dimasukkan ke dalam uterus melalui serviks/pangkal rahim.

- Pembedahan laparoskopi atau miomektomi laparoskopi pula adalah pembedahan bagi mengeluarkan fibroid.

Intramural dan subserous boleh dikeluarkan melalui pembedahan ini melalui dua insisi/pemotongan 10 milimeter panjang, satu di bahagian pusat dan satu lagi di garisan abdomen.

Hanya segelintir sahaja pakar yang mengambil pilihan ini kerana ia mengambil masa yang lama dan cukup mencabar.

- Miomektomi terbuka, pembedahan konvensional yang dilakukan melalui insisi di bahagian bawah, memanjang atau menegak di bahagian garisan bikini (antara ari-ari dan abdomen). Otot-otot uterus dibedah dan fibroid dikeluarkan.

Doktor biasanya akan mengesyorkan wanita yang hamil selepas pembedahan ini untuk menjalani pembedahan Caesarean apabila sampai masanya untuk bersalin.

- Histerektomi bergantung kepada usia, bilangan anak, masalah kesihatan wanita serta lain-lain faktor.

Wanita yang menjalani histerektomi tidak akan mempunyai haid lagi kerana rahimnya sudah dikeluarkan sekali bersama fibroid.

Nasihat pakar

Dr. Salleh menegaskan, bagi wanita yang menopaus, mereka perlu mendapat rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda menopaus yang teruk.

Dalam hal ini, suami perlu memberi sokongan yang sewajarnya untuk isteri dalam meneruskan kehidupan seharian termasuk dalam hubungan suami isteri.

Beliau juga menekankan, wanita perlu menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan kanser servik dan fibroid. Fibroid yang aktif dan cepat membesar juga berbahaya bagi wanita.

Wanita yang melalui pembedahan perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan yang ideal serta melakukan senaman yang bersesuaian apabila mereka sudah pulih sepenuhnya. Jumpalah doktor untuk nasihat selanjutnya.

Categories : Artikel

21 Comments

1

saya sudah berkahwin selama 1 tahun tapi still tak ada rezeki lagi.ksmimerncang nak anak tahun ni tapi resultnya hampa. aturan haid saya tetap sepanjang tahun iaitu 28/29 hari. tapi bulan ni hari ke 23 saya datang haid dan hari keduanya saya mengalami pendarahan yang agak heavy dan berketul2 sampai saya kena tukar pad 7 kali.
Tapi saya perasan perut saya agak buncit dan merasakan ada ketulan timbul yang boleh bergerak di bahagian tengah antara tulang rusuk dan macam perut masuk angin.

Adakah ini salah satu simpton saya susah nak mengandung?

Belle.

2

Saya mengandung 14 minggu
Baru2 ini, terdapat ketulan daging di bawah faraj saya.
Apekah ia fibroid?
Ia akan menecut apabila saya tidur.
Dan akan besar seperti telur budak apabila saya bangun dan lakukan kerja2.
Tiada rasa sakit.

3

Ada kemungkinan juga perkara tersebut menghalang dari puan mengandung. Boleh amalkan SHARK CARTILEGE + MADU + TUJU ANGIN + PARAMARIA PLUS. Insyaallah setiap penyakit ada ubatnya.

4

Kemungkinan besar fibroid di dlm rahim. Set lengkap dan shark cartilage tak sesuai utk ibu mengandung. Saya cadangkan puan ambil produk set wanita hamil seperti spirulina, mega 3 kapsul, HB, madu asli dan roselle. Teh herba amat baik untuk ibu mengandung dan penghidap diabetes…set wanita hamil mengandungi sumber nutrisi yang lengkap untuk ibu dan juga bayi didalam kandungan. Insyaallah banyakkan doa dgn mohon kesembuhan dr allah. Setiap penyakit ada ubatnya.

5

berapakah ph air dari filter dew? saya ada baca dari katalog hpa..ph 10.2 tetapi bila saya tanya pada penjualnya,ph hanya 7++. yang mana satu yang benar sebab saya berminat untuk membeli.

6

saya mmg susah datang haid dari sejak sebelum kawin lg. skrang saya dah ada anak 2 dan baru2 ni saya mengalami haid yg lama lebihkurang dlm 20 hari selepas itu saya kembali datang haid selepas seminggu kering haid td. saya ada berjmpa dgn doktor n dia kata ada 2 sis yg berhampiran dgn saluran kencing saya. adakah iru fibrod? saya baru sahaja membuat janji temu di hospital utk rawatan lanjut.

7

hi,salam pada semua pembaca,
saya mengalami haid yang tak teratur semenjak usia saya 12 tahun (pertama kali datang haid). sehingga satu satu masa usia saya 22 tahun saya mengalami uzur tanpa henti sehingga 4bulan. menyebabkan darah saya tinggal 5.4pn aje..nafas pun xcukup oksigen. dan saya pengsan lalu dimasukkan ke hospital. masuk darah dan air..
rawatan yang dikasi pd masa itu cuma doktor kasi saya makan ubat untuk memaksa ketulan fibroid tu keluar.Berhasil tapi selepas 2-3 tahun fibroid tu muncul kembali. sehingga saya berusia 27 dan mendirikan rumah tangga. tapi saya berusaha untuk mencari ubat dan saya menemui CVT pati bunga saya amalkan untuk minum,mandi dan sapu di kawasan perut ke kawasan rahim..alhamdulillah saya dapati hamil pada tahun ke-2 perkawinan saya,dan doktor yang pernah merawat saya pun terkejut kenapa caya boleh mengandung sendangkan dia cakap tak boleh.Dan semasa melahirkan bayi pertmana saya, fibroid itu turut keluar sama.
Insya’allah setiap usaha pasti ada jalan…saya kini berusia 32tahun dan selesa dengan kitaran haid yang sempurna.

8

hI SHOFIE
APA TU CVT PATI BUNGA. Tolong bagitau saya. Saya cuba hamil sejak 2 tahun yang lepas tapi tau berjaya juga. nak try produk ni. kat mana saya boleh dapat produk ini.

Terima kasih

9

apakah produk hpa yang sesuai untuk ibu yang baru hamil? dan apakah pula produk hpa yang tidak boleh diambil oleh wanita hamil. mohon jawapan.

10

sy berumur 27 tahun..saya menyedari ada ketulan di brest sy sudah lama…dan baru2 ni sy pergi jumpa dokor..slpas pemeriksaan doktok kata maybe fibroid..dia atur temujanji dgn doktor pakar tuk mengesahkan lagi masalah saya…sy rasa agak keberatan tuk jumpa pakar…katanya juga fibroid yg sy alami ni berukuran 1×1cm..apa ubat yg boleh membantu saya selain daripada surgery…? saya cukup risau dgn mslh ni….

11

saya berumur 48 tahun saya mengalami sakit perut yang teruk sekali apadila haid saya datag saya pergi untuk ultra sound scan tetapi tidak ada apa apa ia normal apakah punca penyakit saya

12

Saya tidak haid hampir 3 bulan. Saya telah membuat ujian air kencing 2x tetapi tidak mengandung dan scan juga tidak mengandung. Apa punca saya tidak datang haid?

13

Saya selamat melahirkan, setelah keluar dari hosp. dalam satu minggu saya turun darah ketulan sebesar penumbuk. Yang menjadi tanda tanya setelah masuk semula ke hosp. bagi mendapatkan rawatan pendarahan berhenti keesokannya dibenarkan keluar. Setelah itu saya dirujuk ke unit sakit puan, mendapati saya ada ketumbuhan. Sekarang ianya membesar? tempoh jangka masa sekarang 7thn
” persoalannya : Saiz pembesaran ketumbuhan yang disarankan bg menjalani pemedahaan.”

Setiap kali datang bulan saya memerlukan pad bersaiz paling besar bagi menampung pendaraan (haid semasa). Jumlah pad 24jam 12pad basah/penuh,bila beralih kedudukan dari posisi duduk - bediri pengaliran seperti air paip yang mengalir.pusingan sebelum 7hari menjadi 3hari,sekarang saya 33tahun.
” Persoalanya : Saya ingin menambah zuriat adakah saya berpeluang untuk mendapat zuriat buat kali kedua sekiranya para doktor memberitahu kedudukannya didalam rahim”

Saya berharap pihak tuan/puan dapat memberikan sedikit maklum balas TQ

14

salam…saya pn nk tahu apa tu CVT PATI BUNGA.dan boleh didapati kat mane@farmasi…doktor sahkan saya ada ketumbuhan 2.9×1.8cm besar nyer..ada sape2 tahu x ubat untuk megecutkan ketumbuhan…kalau boleh saya nk elakkan dari pembedahan…

15

hi….n salam 1malaysia…

sye bumo 24 thn…n baru mgandung 14 minggu…

Baru2 ini, terdapat ketulan daging di bahagian rahim saya.
DR kte kemungkinan besar fibroid??
tpi,DR x pasti lagi…so,bLn dpn scan s’x agi utk mmstikn y…
apekh itu bnr2 fibroid..?

16

hai, salam..
saya b’umr 26 thn dan dah berkahwin selama 8 bulan, saya mengalami senggugut yg agk teruk apabila period dan sakit belkng pinggul 2 3 hari sebelum period, lepas kawin berat badan saya naik dan saya juga mengalami masalah keputihan yang agak series sejak bujang lagi? saya risau saya mandul..
adakah saya mengalami kemandulan dan masalahfibriod?

17

Saya berumur24 tahun…sy baru selesai dibedah faibroid myomectomy…sudah sebulan ..sy igin bertanya prodok apa sesuai untuk sy dan bila waktu sesuai untuk sy mula mkn? Tlg jwb :-)

18

as salm,,,saya berusia 27thn,,,,baru nie saya sakit perut yg teramat sgt,,,dan bila g spital n scan didapati ade ketumbuhan dlm rahim,,,,adakah itu faibroid,,,,,?????haid saya mari skit je akhir2 nie,,,perut saya dah xsakit dah,,,,bantu saya????

19

Salam sejahtera saya berusia 43 tahun dan disahkan mempunyai ketumbuhan fibroid pada dinding rahim bersaiz `14 cm , saya pernah melakukan pembedahan membuang fibroid 10 tahun yang lalu tetapi ia tumbuh semula.Saya bercadang tidak mahu melakukan pebedahan untuk kali kedua .Adakah apa-apa cadangan untuk saya.

20

Salam..nk tnya fibroid akn blaku x pda wanita yg belum berkahwin??
Trma kasih

21

Saya berumur 50 tahun. Dikesan mempunyai fibroid sebesar 10 cm pada jan.2012. Setelah mengamalkan diet yang sihat berat badan telah turun dari 80kg ke 70 kg.Ukur lilit perut berkurangan dari 43 in ke 38 in. Peringkat awal saya ada mengalami masalah akibat fibroid seperti bloating.Sehingga ke hari ini dengan berat badan 70 kg tiada mengalami apa-apa masalah . Darah haidpun makin sedikit cuma staining sahaja. Pada setiap kali appointment dengan doktor pakar meminta saya membuat keputusan untuk segera di bedah . Saya ingin mendapat pandangan apakah saya harus mengikut saranan doktor tersebut sedangkan saya sedang menuju kepada menoupause.Untuk makluman, doktor pakar yang di temui mengesyorkan di bedah kerana pada pendapat beliau kemungkinan fibroid tersebut akan membesar lagi pada masa akan datang. Mohon pandangan dan nasihat. T.k

Leave a Comment